KUCHING, 16 November 2026 — Persediaan menghadapi peperiksaan bukan sekadar menguasai pelajaran, malah memerlukan ketenangan jiwa, keyakinan diri serta doa dan restu. Semangat itu mendasari penganjuran Majlis Restu Ilmu: Tahlil dan Solat Hajat SPM 2026 oleh Pusat Tuisyen Terbilang, Matang Jaya, malam tadi.

Majlis disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terbilang Academy Sarawak, Dr. Ishak Johari. Turut hadir ialah Pengetua Rangkaian Pusat Tuisyen Terbilang, Dr. Nurhidayah Abdullah, dan Pengarah Media, Abang Zainoreen Jess, bersama ibu bapa yang hadir memberikan sokongan kepada anak-anak menjelang peperiksaan.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran 12 orang anak yatim daripada PERYATIM yang bersama-sama mengikuti pengisian kerohanian sepanjang program.

Seramai 48 calon SPM, terdiri daripada 23 pelajar lelaki dan 25 pelajar perempuan, menghadiri majlis tersebut. Mereka merupakan sebahagian daripada 182 calon SPM 2026 dalam Rangkaian Pusat Tuisyen Terbilang di sekitar Kuching pada tahun ini.

Para jemputan mula berkumpul pada pukul 6.00 petang sebelum menunaikan solat Maghrib berjemaah. Pengisian diteruskan dengan bacaan Surah Yasin dan tahlil yang dipimpin oleh Guru UPKK Terbilang, Ustaz Wan Mahzan Wan Alik.

Selepas solat Isyak berjemaah, para hadirin menunaikan solat hajat yang turut diimamkan oleh Ustaz Wan Mahzan. Doa dipanjatkan agar anak-anak Terbilang diberikan kesihatan, ketenangan hati, kelapangan fikiran serta kemudahan mengingati dan mengaplikasikan ilmu ketika menjawab peperiksaan.

Kehadiran ibu bapa memberikan makna tersendiri kepada majlis tersebut, sekali gus memperlihatkan kebersamaan keluarga dan pendidik dalam mengiringi perjuangan anak-anak. Restu, perhatian dan sokongan mereka menjadi penguat semangat kepada calon untuk menghadapi fasa penting pendidikan dengan lebih yakin.

Penganjuran majlis ini melengkapi bimbingan akademik dengan pengisian kerohanian dan motivasi, di samping mengingatkan pelajar bahawa kejayaan menuntut disiplin, kesungguhan, doa dan tawakal. Keseimbangan persediaan ilmu, emosi dan rohani menjadi bekalan untuk mereka melangkah ke dewan peperiksaan.

Selesai pengisian ibadah, majlis diteruskan dengan jamuan ringan serta penyerahan air zamzam kepada anak-anak Terbilang yang hadir dan bakal menduduki SPM 2026. Pemberian itu menjadi tanda ingatan dan sokongan, diiringi doa agar usaha mereka membuahkan kejayaan.

Majlis Restu Ilmu ini mencerminkan komitmen Pusat Tuisyen Terbilang untuk menyantuni pelajar secara menyeluruh, merangkumi pencapaian akademik, pembentukan sahsiah serta kesejahteraan emosi dan rohani. Hubungan erat antara pelajar, ibu bapa dan guru turut memperkukuh sokongan sepanjang persediaan menghadapi peperiksaan.

Berakhir pada pukul 9.15 malam, majlis tersebut membawa harapan agar kesemua 182 calon SPM Terbilang terus cekal berusaha, menjaga kesihatan dan menghadapi peperiksaan dengan tenang. Berbekalkan ilmu, doa serta restu ibu bapa dan guru, semangat “Ke Arah Keterbilangan Akademik” terus menjadi dorongan untuk mereka mencipta kejayaan.

Gambar 1: AIR ZAMZAM… Dr. Ishak menyerahkan air zamzam kepada wakil calon SPM 2026 pada Majlis Restu Ilmu Pusat Tuisyen Terbilang, Matang Jaya.

Gambar 2: Anak-anak Terbilang yang bakal menduduki SPM 2026 bergambar bersama pengurusan, guru dan para jemputan selepas Majlis Restu Ilmu di Pusat Tuisyen Terbilang, Matang Jaya.

Sunber:  Utusan Borneo Online

GALERI