September 8, 2026, Selasa – 2:04pm
KUCHING: Kejayaan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan sekadar bergantung kepada bimbingan guru, sebaliknya bermula dengan tekad, disiplin dan kesungguhan pelajar untuk mengubah kelemahan diri.
Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Dr Ahmad Nazib Johari berkata, guru dan tenaga pengajar hanya mampu menyediakan bimbingan terbaik, namun usaha mengulang kaji, memperbaiki kelemahan serta membuat perubahan perlu datang daripada diri sendiri.

Katanya, keputusan kurang memberangsangkan dalam latihan atau peperiksaan terdahulu tidak seharusnya dianggap sebagai kegagalan mutlak, sebaliknya dijadikan petunjuk untuk mengenal pasti kelemahan sebelum menghadapi peperiksaan sebenar.
“Keputusan lalu bukan penentu mutlak masa depan. Apa yang penting ialah kesediaan untuk berubah, bekerja keras dan menggunakan masa yang masih ada dengan sebaik-baiknya.
“Murid perlu berani mencuba, belajar daripada kesilapan dan bangkit dengan semangat lebih kuat,” katanya berucap merasmikan Program Motivasi dan Bengkel Persediaan SPM 2026 di Pusat Tuisyen Terbilang, Matang Jaya, di sini, kelmarin.
Program itu turut disertai 80 pelajar Tingkatan Lima daripada keluarga B40 di kawasan Parlimen Petra Jaya dan Santubong yang mewakili 10 sekolah menengah sekitar Kuching.
Menurut Ahmad Nazib, calon SPM juga perlu membina mentaliti seorang pejuang dan tidak mudah berputus asa apabila berdepan topik atau soalan yang sukar.
Katanya, kesilapan yang dilakukan ketika belajar masih boleh diperbetulkan dan menjadi pengalaman penting bagi mengelakkan kehilangan markah dalam peperiksaan sebenar.
“Jangan takut melakukan kesilapan ketika belajar kerana kesilapan yang diperbetulkan sekarang boleh membantu murid mengelakkan kehilangan markah nanti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan pengurusan masa, persekitaran pembelajaran yang baik dan pemilihan rakan yang mampu memberikan pengaruh positif.
Katanya kecemerlangan SPM bukan hanya bergantung kepada kecerdasan, malah turut memerlukan disiplin, kekuatan emosi, konsistensi mengulang kaji serta keseimbangan antara usaha dan doa.

Program anjuran Pertubuhan Kepimpinan dan Keterbilangan Pelajar Sarawak (PKKPS) bersama Terbilang Academy Sarawak dan Pusat Tuisyen Terbilang itu berlangsung selama lima hari dari 31 Ogos hingga 4 September.
Bagi memastikan bimbingan lebih berfokus, peserta dibahagikan kepada empat kelas dengan 19 hingga 20 pelajar setiap kelas.
Selain motivasi, mereka mengikuti bengkel Matematik secara intensif merangkumi ulang kaji berfokus, teknik menjawab berdasarkan skema pemarkahan serta latihan menggunakan soalan percubaan SPM dari pelbagai negeri.
Pengerusi PKKPS Dr Ishak Johari berkata, kehadiran Ahmad Nazib memberi suntikan semangat kepada peserta selain mencerminkan keprihatinan terhadap usaha membantu calon SPM daripada keluarga B40.
Menurutnya, gabungan motivasi, latihan intensif dan bimbingan dalam kumpulan kecil penting bagi membantu calon membina penguasaan ilmu, keyakinan diri dan ketahanan mental menghadapi peperiksaan.
Program berkenaan diakhiri dengan majlis penutupan dan penyampaian sijil yang disempurnakan Ishak pada Jumaat lalu.
Ahmad Nazib turut mengucapkan tahniah kepada PKKPS, Terbilang Academy Sarawak, Pusat Tuisyen Terbilang serta semua pihak yang menjayakan program itu dan berharap peserta meneruskan momentum pembelajaran sehingga SPM 2026.

